Oleh SUBKHI SUDARJI
KELAB bola sepak baharu yang dinamakan sebagai Rakyat United (RUFC) bakal mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 apabila dikatakan sedia menggantikan pasukan Felda United.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan mengenai impian dan harapan melihat rakyat serta warga Putrajaya memiliki kelab bola sepak di bawah nama Rakyat United itu sedang berjalan lancar.
“Memang betul saya sudah bertemu dengan pengurusan Rakyat United itu yang asalnya Felda United dan mereka telah dimiliki syarikat-syarikat tertentu.
“Saya hanya meninjau, buat masa ini tiada keputusan, kalau ada rezeki dan jodoh, harapan saya agar ada pasukan yang mewakili rakyat dan warga Putrajaya.
“Felda United meminta tempoh seminggu untuk fikirkan apa yang saya cakap dan kita sasarkan untuk beraksi tahun depan,” jelasnya.
Annuar berkata, hasrat Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk menyertai saingan Liga Malaysia musim depan telah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Di Putrajaya semuanya ada antaranya padang latihan skuad Harimau Malaya, ibu pejabat badan bola sepak Asia dan ASEAN, namun Putrajaya tidak memiliki pasukan bola sepak.
“Saya dimaklumkan ada beberapa pasukan atas sebab-sebab tertentu antaranya Felda United dan UKM FC bakal menarik diri dalam saingan musim depan.
“Jadi jika FAM memberikan kebenaran, kita kena cari jalan sendiri dari segi kewangan, bentuk bola sepak ini bukan mudah nak cari duit, kalaulah rakyat Putrajaya sokong dengan hasrat ini kita akan teruskan.
“Untuk beraksi dalam saingan Liga M musim depan, perancangan pasukan perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal,” ujarnya.