Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Seramai 168 daripada 210 peserta berdaftar dalam Sistem e-Kasih di negeri ini yang mendapat bantuan menerusi Program Rezeki Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) Fama, Mohd. Hafiz Nurulhuda berkata, jumlah itu dianggarkan sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan peserta bantuan Fama yang berdaftar dalam sistem itu sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, kebanyakan mereka kini bergelar usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berjaya menghasil dan memasarkan produk masing-masing.
Katanya, setiap peserta yang terpilih dari data Jabatan Perdana Menteri itu diberikan sumbangan bantuan barangan bernilai RM10,000 yang membolehkan mereka mengusahakan pelbagai jenis produk makanan dan projek keusahawan.
“Sikap amanah dalam memanfaatkan pemberian, meneroka ilmu keusahawan dan belajar mengenai strategi pemasaran membolehkan mereka merubah kehidupan yang lebih selesa selain berjaya mengurus projek keusahawanan yang berdaya maju.
“Pegawai Fama sentiasa membuat pemantauan dan memberi bimbingan kepada semua peserta e-Kasih. Kita juga mencadangkan mereka mengikuti pelbagai kursus keusahawan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan kepada ibu tunggal, Norita Jusoh, 46 yang mengusahakan serbuk asam boi, serunding, dan kuih tradisional cek mek sejuk beku di sini hari ini.
Majlis penyampaian bantuan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gaal, Mohd. Rodzi Jaafar.
Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz berkata, seramai 10 peserta e-Kasih di Pasir Puteh dan Machang terpilih menerima sumbangan yang sama pada tahun ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai empat peserta telah menerima bantuan tersebut dan akan menyelesaikan baki agihan kepada enam lagi peserta hujung bulan ini.
“Peserta sendiri menyenaraikan barangan dan peralatan yang diperlukan mengikut produk yang telah diusahakan. Fama membuat pemantauan sehingga tiga tahun dan kebanyakan peserta sudah mampu berdikari.
“Sekiranya berjaya, mereka boleh memohon peruntukan tambahan untuk mencapai tahap Perindustian Kecil Sederhana (PKS) selain berjinak-jinak menerokai pasaran yang lebih global,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Rodzi ketika ditemui berkata, bantuan kerajaan untuk peserta e-Kasih menunjukkan hasil yang baik apabila kumpulan sasaran itu diberi bimbingan dan dipantau oleh agensi yang terbabit.
Katanya, penghasilan produk makanan yang bermutu menerusi IKS kini mampu dipasarkan ke seluruh negara dengan kaedah pembungkusan yang lebih menarik berbanding projek yang diusahakan secara kecil-kecilan sebelum ini.-K!ONLINE