MANCHESTER – Penyerang baharu Manchester United, Edinson Cavani mempunyai misi tersendiri menjelang aksi pertama Kumpulan H Liga Juara-Juara menentang bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes awal pagi esok.
Cavani, 33, dijangka disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas dia dilihat sudah menjalani sesi latihan bersama The Red Devils sejak menyertai gergasi England itu secara percuma dengan kontrak setahun pada 5 Oktober lalu.
Ini adalah peluang terbaik buat Cavani membalas dendam kepada PSG kerana ‘membuangnya’ demi memilih Neymar dan Kylian Mbappe meskipun dia memegang status sebagai penjaring terbanyak juara Perancis itu dengan 200 gol.
Walaupun sudah tujuh bulan tidak bermain aksi kompetitif, namun keupayaan Cavani tidak boleh dinafikan kerana dia sentiasa berjaya meledak gol walaupun sering menjadi pilihan kedua sejak menyarung jersi PSG pada 2013.
“Saya sebenarnya tidak berminat untuk menjadi pemain fenomena dalam bola sepak tetapi saya dapat merasakan darah sebagai seorang penyerang sedang mengalir dalam tubuh saya.
“Sekarang saya teruja untuk mewakili United dalam kancah Liga Perdana Inggeris dan kini meraih peluang terbaik menentang PSG. Tiada siapa pernah menjangka detik sebegini akan terjadi dalam karier saya,” kata Cavani.
Bagaimanapun, Cavani dan United tidak berdepan tugas mudah apabila PSG juga bertekad membalas dendam terhadap kekalahan mereka pada edisi 2018/2019. – AGENSI