PASUKAN Moto2 dari Belanda, NTS RW Racing GP mungkin menjadi salah satu pasukan ‘penyelamat’ karier pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Pasukan itu berkemungkinan besar sedang mengadakan perbincangan serta rundingan bagi mendapatkan khidmat Hafizh memandangkan mereka antara pasukan yang belum mengumumkan senarai pelumba setakat ini.
Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berkata, senarai pasukan yang pernah dikemukakan kepada Hafizh sebelum ini kebanyakannya sudah membariskan pelumba masing-masing untuk musim depan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, hanya RW Racing GP satu-satunya pasukan yang disenaraikan masih belum mengumumkan barisan pelumba bagi saingan musim 2021.
“Sebenarnya, saya tidak pasti mengenai perkembangan Hafizh berhubung saingan musim depan. Saya juga tidak ada dengar mana-mana pasukan yang berbincang dengannya.
“Saya ada perkenalkan pasukan seperti Liqui Moly Intact GP dan Stop and Go Team kepada pengurusan Hafizh, namun pasukan-pasukan itu sudah mengumumkan senarai pelumba mereka.
“Walaupun begitu, masih ada satu lagi pasukan yang belum membuat keputusan berhubung senarai pelumba iaitu NTS RW Racing GP. Sementara itu, yang lain saya tidak pasti,” ujar Razlan.
Terdahulu, pelumba berusia 26 tahun itu tersingkir daripada perancangan pasukannya, Inde Aspar bagi saingan musim depan selepas pasukan berkenaan mengumumkan Albert Arenas sebagai pelumba kedua, bergandingan dengan Aron Canet.