KUALA LUMPUR – Impian seorang bekas model untuk kelihatan lebih cantik berakhir dengan tragedi apabila mangsa maut ketika menjalani pembedahan menyedut lemak di sebuah unit apartmen yang dijadikan pusat kecantikan di sini pada Sabtu lalu.
Mangsa, Coco Siew, 23, yang baru pulang dari luar negara pada Ogos lalu pergi ke pusat itu sebagai persiapan untuk majlis perkahwinannya dengan jejaka mat salih yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.
Abang mangsa yang ingin dikenali sebagai Hugo, 24, berkata, berdasarkan keterangan rakan yang menemani adiknya, mangsa tiba-tiba terkena sawan selepas doktor menyuntik anestetik bagi memulakan prosedur membuang lemak di bahagian lengan pada pukul 2.30 petang.
“Susulan itu, pemilik pusat kecantikan serta doktor telah menghubungi pihak ambulans sebelum membawa adik saya ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini.
“Bagaimanapun, pihak perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hugo mendakwa, hasil semakannya, pusat kecantikan itu tiada lesen atau tauliah untuk menjalankan prosedur membuang lemak, sebaliknya hanya memiliki lesen pusat kecantikan.
“Adik saya hanya berhubung dengan pusat kecantikan itu melalui media sosial dan semalam (kelmarin) hari pertama dia pergi untuk melakukan pembedahan itu dengan bayaran RM2,500.
“Dia pulang dari luar negara pada Ogos lalu untuk membuat persiapan perkahwinan yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi,” ujarnya.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian yang menimpa adiknya.
“Kami juga masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik pusat kecantikan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemilik pusat kecantikan termasuk anaknya telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, dua suspek yang berusia 23 dan 49 tahun itu ditahan petang kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati, pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan proses sedut lemak.
“Kami juga masih menjalankan siasatan termasuk sama ada suspek memiliki kelulusan doktor atau tidak,” katanya.
Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula semalam.