MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran kepada semua pemain pasukannya supaya membuktikan mereka layak kekal di Etihad termasuk penyerangnya, Sergio Aguero.
Pemain Argentina itu membuat penampilan pertamanya ketika City menewaskan Arsenal 1-0 kelmarin selepas hampir empat bulan berehat akibat mengalami kecederaan lutut.
City sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mahu terburu-buru untuk memberi tawaran kontrak baharu kepada pemain itu.
Bagaimanapun, Guardiola mengakui bahawa beliau tidak meragui kualiti pemain berusia 32 tahun dan semua pemain berhak untuk mendapatkan kontrak baharu.
“Apa yang penting adalah Sergio kembali bersama pasukan dengan keadaan fizikal yang baik, mula mendapatkan rentak, tidak berdepan masalah kecederaan dan bermain dengan baik.
“Kami sedar betapa dia sangat diperlukan oleh pasukan ini, kami sangat menghargainya tetapi dia perlu membuktikan kepada kami bahawa dia layak untuk kekal di sini dengan memberikan aksi yang terbaik dan memenangi perlawanan.
“Kemudian, baharulah kelab ini dan saya akan membuat keputusan. Apabila dia bermain pada tahap sebenar, kami tidak akan meragui bahawa dia pemain yang akan kekal dan hanya dia yang akan membuat keputusan sama ada untuk meninggalkan pasukan ini.
“Apabila Sergio berada di dalam padang, kami berasa lebih baik dan selamat. Kami sangat merindukan apa yang dilakukan untuk kelab ini dan kini kami kembali mendapatkan semula khidmatnya,” katanya. – AGENSI