Oleh SHAARANI ISMAIL
BATU GAJAH – Seorang lelaki yang menyamar dengan memakai jubah wanita untuk mencuri wang dari tabung surau ditahan polis selepas kegiatannya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku pada 12.57 tengah hari Jumaat lalu, di Surau Al-Solehiah Kampung Tersusun, Taman Tasek Permai dekat sini.
Katanya, suspek berusia 29 tahun ditahan polis Sabtu lalu kira-kira jam 8.30 malam di Jalan Restu, Kampung Serdang Permai dekat sini selepas ahli jawatankuasa surau memeriksa rakaman CCTV dan mengenalpasti kenderaan digunakan suspek.
Beliau berkata, ketika ditahan polis turut menemui wang tunai sebanyak RM100, sehelai jubah wanita bewarna hitam, sehelai tudung berwarna hitam, sehelai seluar panjang bewarna hitam, satu beg dan satu beg sandang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan curi.
“Siasatan awal mendapati kejadian disedari seorang daripada jemaah surau yang curiga dengan kewujudan beberapa kepingan pita pelekat diletakkan di atas meja di dalam surau tersebut yang disyaki digunakan untuk mencuri duit dalam tabung surau.
“Ahli Jawatankuasa (AJK) surau bersama Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta AJK surau yang lain kemudian telah memeriksa rakaman CCTV.
“Rakaman pada hari kejadian menunjukkan seorang individu dipercayai wanita berjubah warna hitam dan memakai pelitup muka sedang menjolok lubang tabung surau dengan menggunakan objek panjang untuk mencuri wang dalam tabung tersebut,” katanya.
Katanya, dalam rakaman terbabit turut kelihatan kepingan wang telah dicurinya dari dalam tabung surau berkenaan selain turut menunjukkan lelaki yang menyamar wanita itu memandu kereta jenis Viva berwarna putih.
Ahmad Adnan berkata, suspek juga dikesan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dan salah satunya adalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada Ogos lalu kerana mencuri wang dalam tabung masjid di Jelapang Ipoh.
“Suspek direman empat hari bermula 18 Oktober hingga esok dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Parit selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya beedasarkan pengakuan dan barang kes yang dirampas,” katanya. -K! ONLINE