Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
JELEBU – Lebih 100 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang dekat sini mengalami keracunan makanan sejak awal pagi tadi dipercayai selepas menikmati makan malam di dewan makan sekolah tersebut.
Naib Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) Cawangan MRSM Kuala Klawang, Rosdin Abdul Kahar berkata, ibu bapa dimaklumkan, anak-anak mereka mengalami sakit perut sejak pukul 4 pagi tadi.
“Anak-anak mereka kata selepas makan malam dan pukul 4 pagi ramai yang sakit perut dan berulang alik ke tandas. Ada yang kata antara makanan yang dimakan pelajar pada malam itu ialah kari ayam dan daging masak kicap.
“Ada ibu bapa dan penjaga memaklumkan terdapat kira-kira 94 pelajar tingkatan empat sekolah tersebut telah mengadu sakit perut dan muntah-muntah. Namun saya tidak pasti jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan di Klinik Kesihatan Jelebu mendapati terdapat sekumpulan pelajar MRSM Kuala Klawang baru selesai mendapatkan rawatan di klinik tersebut.
Seorang pelajar lelaki tingkatan 1 ketika ditemui berkata terdapat lebih 100 pelajar mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit perut namun dia tidak pasti sama berpunca daripada makan malam atau makan tengahari.
Dalam pada itu, tinjauan di hadapan MRSM tersebut mendapati beberapa ambulans keluar masuk ke sekolah berkenaan.
Setakat ini tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak mengenai jumlah sebenar pelajar yang terlibat namun difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek akan mengadakan lawatan ke sekolah tersebut petang ini.-K!ONLINE