Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Seorang Koperal maut ketika dalam perjalanan untuk bertugas selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tambak Paya-Tehel, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, mangsa, Muhammad Siddiq Esa, 25, yang bertugas di Balai Balai Lenga Muar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125 dalam perjalanan dari rumahnya di Jasin menghala ke Muar.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Xtrail yang dipandu seorang wanita berusia 27 tahun tiba-tiba membuat pusingan U kerana ingin ke kedai berhampiran.
“Mangsa bagaimanapun gagal mengelak SUV tersebut dan merempuh bahagian sisi kenderaan itu menyebabkannya terperosok di bawah kenderaaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
“Pemandu kenderaan juga telah dibawa ke hospital sama untuk ujian sampel darah sebelum dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan dadah dan alkohol,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -K!ONLINE