Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
ESPORTS Pulau Pinang (ESPP) mengambil inisiatif untuk melahirkan bintang e-Sukan di negara ini dengan mengasah bakat-bakat muda agar berada di landasan tepat serta memiliki kemampuan untuk berdaya saing di pentas antarabangsa.
Maka tidak hairanlah terdapat pemain seawal usia 15 tahun selain majoritinya masih bersekolah mahu menyertai ESPP. Lebih menarik, ada antaranya datang dari jauh seperti Sabah dan Johor semata-mata mahu menyertai organisasi e-Sukan tersebut.
Semuanya disebabkan oleh minat serta semangat tinggi untuk berjaya dalam arena e-Sukan yang kian mendapat tempat dalam kalangan warga tempatan.
Justeru, untuk tidak mempersia-siakan usaha serta keazaman yang ditunjukkan oleh bakat-bakat baharu ini, ESPP akan menaja dan membimbing agar lebih berjaya serta berdaya saing pada masa depan.
Menurut Timbalan Presiden ESPP, Muhammad Harith Farhan Zakaria, sebagai permulaan pihaknya menawarkan kontrak selama tiga bulan untuk lapan pasukan pilihan yang dilihat berpotensi pergi lebih jauh dalam arena e-Sukan ketika ini.
Katanya, tawaran dibuat berdasarkan pemantauan terhadap konsistensi yang ditunjukkan oleh kesemua pasukan itu dalam pelbagai kejohanan anjuran ESPP melibatkan permainan Player Unknown Battleground Mobile (PUBGM).
“Kami hanya meletakkan syarat bahawa setiap pasukan perlu memiliki sekurang-kurangnya seorang pemain berasal dari Pulau Pinang atau pernah tinggal di negeri ini. Itu sahaja.
“Bila termeterainya kontrak ini, setiap pasukan akan membawa nama ESPP dalam setiap kejohanan yang mereka sertai dan jika aksi mereka konsisten sepanjang tempoh kontrak, besar kemungkinan kita akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh tersebut kepada tiga bulan lagi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kesemua lapan pasukan itu terdiri daripada ESPP Black Panther, ESPP Panthera, ESPP Superz, ESPP Madness, ESPP Underrated Pipol, ESPP Warrior, ESPP Gringos dan ESPP Xbah yang secara keseluruhannya melibatkan hampir 40 pemain.
Muhammad Harith bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana pasukan itu daripada menerima tajaan lain sepanjang kontrak mereka bersama ESPP, jika ada.
“Kami berpendapat, itu rezeki mereka. ESPP hanya membuka jalan serta memberi peluang untuk mereka berjaya dalam bidang ini,” ujar beliau.
Muhammad Harith menambah, selain bimbingan menghadapi kejohanan peringkat domestik, pasukan muda yang berpotensi akan terus digilap dengan sasaran untuk mewakili Pulau Pinang pada Sukan Malaysia (Sukma) pada masa akan datang.