fbpx

Bomba sanitasi 30 kawasan di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Hazmat JBPM Selangor menjalankan operasi sanitasi di SRA Taman Sri Andalas, Klang, hari ini.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah menjalankan operasi sanitasi di 30 kawasan di seluruh Selangor sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis berkata, operasi bermula 14 Oktober sehingga semalam itu dijalankan hasil permohonan daripada agensi dan premis melibatkan bangunan kerajaan, pasar awam dan balai polis terutama di daerah Petaling.

Katanya, semua lokasi yang telah disanitasi pihaknya turut meliputi lokasi tertentu yang mencatatkan kes positif Covid-19.

“Berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu di Selangor, kita menerima permohonan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan sanitasi di kawasan mereka.

“Permintaan itu turut melibatkan bangunan kerajaan yang menerima jumlah tinggi kehadiran pengunjung setiap hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Tambah Norazam, pihaknya menyedari risiko dihadapi pihaknya sepanjang operasi tersebut.

“Namun, kita perlu melaksanakannya atas permintaan sekali gus turut memikul tanggungjawab untuk bersama memerangi pandemik tersebut,” katanya.

Terdahulu, Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Selangor dan Balai Bomba dan Penyelamat Andalas menjalankan operasi sanitasi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Sri Andalas, Klang, kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Operasi selama tiga jam itu melibatkan seluruh tiga blok bangunan, surau dan kantin sekolah tersebut yang diketuai Ketua Unit Hazmat negeri, Pegawai Penguasa Bomba Mohd. Nazri Ab. Azmi.

Permohonan itu dibuat pengurusan sekolah susulan satu kes positif Covid-19 melibatkan seorang pelajar lelaki Tahun Tiga, minggu lalu. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI