fbpx

363 pengusaha pelancongan hantar memorandum bantahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengusaha bot penambang hilang punca pendapatan selepas Taman Negara Kuala Tahan ditutup pada 6 Oktober lalu.- Gambar hiasan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

JERANTUT – Selepas terjejas teruk akibat penutupan Taman Negara, seramai 363 pengusaha pelancongan dan perniagaan bertindak menghantar memorandum bantahan penutupan Taman Negara Kuala.

Memorandum bantahan berkenaan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh melalui serahan tangan dan juga pos.

Salinan memorandum berkenaan turut dihantar kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, memorandum berkenaan dihantar mengambil kira kesan kerugian dialami akibat punca pendapatan selepas penutupan mengejut Taman Negara berkenaan.

“Seramai 170 orang pemandu pelancong, 78 pengusaha bot Sungai Tahan, 30 pengusaha bot Sungai Tembeling, 30 buah restoran dan rakit terapung, 17 agensi pelancongan, 38 penginapan yang terlibat dengan aktiviti pelancongan Taman Negara Pahang terjejas akibat hilang punca pendapatan.

“Kami kini buntu kerana hilang punca pendapatan sekelip mata yang mana anggaran kerugian keseluruhan mencecah hampir RM2 juta bagi bulan Oktober dan November,”katanya di sini, hari ini.

Abdul Jalil memberitahu penduduk tiada pilihan lagi selain menghantar memorandum bantahan kerana begitu terbeban akibat penutupan Taman Negara secara mengejut.

Justeru mereka berharap operasi Taman Negara dapat dibuka semula dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita berharap kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy juga mengambil berat masalah ditanggung pengusaha pelancongan yang mana kita juga mencadangkan Taman Negara Kuala Tahan diletakkan di bawah perbadanan seperti Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Cameron Highlands,”katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara Kuala Tahan, Mohd. Abdul Rani Harun berkata, seramai 38 pengusaha chalet dan pusat peranginan di sini berkemungkinan terpaksa gulung tikar akibat tekanan kewangan yang teruk.

Katanya, mereka terpaksa terus membayar kos operasi dan juga pinjaman perniagaan sedangkan mereka berhadapan sifar pendapatan ekoran ketiadaan pelanggan.

Sementara itu, Pengerusi Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kassim berkata, ketiadaan pelancong menyebabkan pemandu pelancong termasuk masyarakat Orang Asli yang mengharapkan upah harian kini tidak mempunyai mata pencarian.

“Senario kesusahan ini ditambah pula penduduk bakal berhadapan musim tengkujuh dan persediaan bagi menghadapi persekolahan anak tahun hadapan,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI