JAKARTA – Seorang remaja yang masih bersekolah di Indonesia tular di media sosial kerana berkahwin dengan dua wanita dalam tempoh selang sebulan, demikian menurut portal berita Kompas.com.
Ahmad Rizal baru berumur 18 tahun dan belajar di Sekolah Menengah Kejuruan Negeri Gerung di Dusun Sayong Batu, Lombok Barat.
Isteri pertamanya dikenali sebagai Fitriani dan berumur dalam lingkungan 15 tahun, manakala isteri kedua, Mariani pula berusia antara 15 hingga 18 tahun.
Bapa Rizal, Ayuni, 37, berkata, dia mengahwinkan anak lelakinya itu secara adat tradisional masyarakat Lombok dan tidak memaklumkannya kepada Pejabat Agama.
“Rizal mengahwini Fitriani pada 17 September lalu dengan mas kahwin 2.5 juta rupiah(RM702) mengikut adat,” katanya lagi.
Tidak lama selepas itu, keluarga isteri kedua iaitu Mariani datang ke rumah Rizal dan meminta lelaki itu berkahwin dengan gadis berkenaan.
Ibu Rizal hampir pitam mendengar permintaan itu, namun terpaksa menurut kehendak keluarga Mariani.
“Jadi, pada 17 Oktober lalu, Rizal berkahwin dengan Mariani dengan mas kahwin 1 juta rupiah (RM280) manakala kos dua acara perkahwinan itu sekitar 50 juta rupiah (RM14,041),” kata Ayuni.
Rizal dan dua isterinya menolak untuk memberikan sebarang komen.
Sementara itu, pihak sekolah memohon jasa baik keluarga agar membenarkan dua gadis yang baru bergelar isteri itu untuk meneruskan persekolahan seperti biasa. – Agensi