‘HEY what’s up guys’. Itu ungkapan pengenalan wajib yang sering didengari netizen tatkala menonton video tutorial masakan di laman sosial Instagram milik Khairulaming.
Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman menempa populariti di media sosial kerana keunikan video tutorial masakan yang dikongsinya sehingga tular dan menjadi bualan ramai.
Video masakannya yang disifatkan unik, ringkas dan lain daripada yang lain turut disukai kerana kepintarannya menyelitkan unsur drama serta komedi yang membuatkan penonton terhibur.
Mendekati jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, dia sendiri mengakui tidak pernah terlintas video masakan perkongsiannya akan tular dan menjadikan dirinya yang sekarang.
Menurutnya, minat menonton pelbagai program berkonsepkan masakan di kaca televisyen sejak di bangku sekolah rendah sedikit sebanyak mengheretnya ke dunia sekarang.
“Jujur saya katakan, saya pada awalnya memang tidak pandai memasak apatah lagi bercita-cita menjadi cef terkenal. Tapi saya memang gemar menonton pelbagai rancangan masakan.
“Boleh saya katakan titik permulaan menjadikan saya yang sekarang adalah sewaktu saya berada di darjah lima,” ujarnya sambil tertawa ketika membuka bicara bersama K2 baru-baru ini.
Tambah jejaka berusia 28 tahun itu lagi, sewaktu berada di darjah lima, dia sering memerhati ibunya memasak di dapur dan secara tidak langsung belajar sedikit demi sedikit daripada situ.
Jelasnya, sewaktu berada di tingkatan dua, dia juga ada merakam beberapa video masakan bersama ibunya menggunakan telefon pintar, namun hanya sebagai suka-suka.
Bercerita lanjut, Khairul Amin menyatakan, minatnya terhadap dunia masakan terhenti seketika, namun ia diteruskan semula pada 2016.
“2016 menjadi tahun pertama saya berkongsi dan memuat naik video masakan tanpa suara dan fizikal saya.
“Pada masa itu, video tutorial tersebut pun saya kongsikan secara suka-suka di akaun Facebook peribadi sendiri,” ujarnya.
Menyorot kembali penglibatannya, anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, dua tahun selepas itu, video tutorial masakannya diberi nafas baharu dengan memasukkan sedikit elemen drama menggunakan medium baharu, Instagram.
Jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Vanderbilt University, Tennessee, Amerika Syarikat itu, dia memilih untuk memberi nafas baharu kepada videonya dengan cara tersendiri iaitu menggunakan suaranya dan tampil dalam rakaman itu.
Katanya, dia mula memuat naik video masakannya pada awal Ramadan menerusi video berjudul 30 Hari 30 Resipi bersempena kedatangan bulan mulia bagi umat Islam itu.
“Saya tidak sangka video tutorial yang saya muat naik itu menerima maklum balas memberangsangkan daripada netizen yang terinspirasi dengan video masakan.
“Bayangkan daripada hanya mempunyai 800 pengikut di Instagram, jumlah tersebut meningkat ke 100,000 seawal minggu pertama bulan Ramadan bermula.
“Saya terharu apabila orang hargai ilmu masakan daripada video-video yang saya muat naik. Ada yang siap hantar gambar masakan yang dihasilkan berdasarkan bimbingan video saya selain respons yang saya terima daripada golongan ibu dan orang muda,” ujarnya yang kini mempunyai 2.7 juta pengikut di Instagram.
Ditebak mengenai bagaimana dirinya mengawal rasa malu ketika kali pertama bercakap di hadapan kamera serta menunjukkan rupa parasnya yang sebenar, Khairul Amin mengakui ia amat sukar pada mulanya.
Cerita personaliti masakan itu, sebelum mengambil keputusan berbuat demikian, dia terpaksa berlatih berulang kali dan bersedia dengan pelbagai informasi mengenai masakan yang dipilih.
“Tipu dan bohonglah kalau saya katakan tidak wujud perasaan malu dan gementar. Perkara tersebut normal bagi setiap manusia.
“Pun begitu, saya cuba buang semua perasaan tersebut dan sentiasa berlatih berulang kali sebelum video tutorial sebenar dirakamkan,” tuturnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Pamerkan realiti masakan
Menyentuh mengenai bagaimana idea untuk menyelitkan unsur-unsur drama dan sesekali hadir dengan beberapa rangkap pantun selain membebel bagaikan golongan ibu di dapur, Khairul ada jawapan tersendiri.
Jelasnya, tujuan dan mesej utama yang ingin disampaikan kepada khalayak adalah perkara sebenar yang terjadi dalam proses masakan sesuatu resipi.
“Dalam erti kata mudah, saya ingin semua orang tahu yang memasak itu tidak sesukar yang difikirkan. Pada masa sama saya juga ingin menunjukkan realiti sebenar bagaimana sesuatu proses masakan itu dilakukan.
“Sebab itu saya selitkan sedikit elemen drama dan bebelan sama seperti yang dilakukan golongan ibu di dapur. Daripada situ, penonton akan dapat lihat dengan mata mereka sendiri cara masakan sekali gus timbul minat untuk cuba memasak,” ujarnya yang menggunakan tagline I cook like a bujang, talk like a mak cik.
Dalam Instagramnya, Khairul Amin berkongsi pelbagai jenis masakan meliputi lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut, minuman dan sebagainya. Persembahannya membuatkan masakan tampak begitu menyelerakan.
Meneruskan perkongsian, Khairul Amin yang turut bekerja dalam bidang logistik di ibu negara turut berdepan dengan beberapa cabaran tersendiri.
Jelas jejaka berzodiak Libra itu, antara cabaran utama yang sering dihadapinya adalah dari segi masa kerana terpaksa membahagikan masa untuk bekerja dan proses menghasilkan video.
“Kebiasaannya, selepas tamat waktu kerja, saya akan terus menuju ke pasar raya atau mana-mana kedai runcit untuk membeli bahan masakan mengikut resipi yang ingin dimasak.
“Sampai di rumah sahaja, saya perlu mempersiapkan bahan-bahan masakan tersebut dan bersedia untuk proses rakaman serta idea yang ingin dipersembahkan.
“Selesai memasak, video itu perlu disunting terlebih dahulu mengikut kesesuaian durasi dan kandungannya sebelum dimuat naik di laman sosial,” katanya yang mengakui sedikit letih, namun seronok usai dapat berkongsi masakan bersama pengikut.
Sinematografi
Tambahnya, cabaran lain yang turut didepaninya adalah berkenaan idea. Idea yang dimaksudkan adalah berhubung pemilihan dan penentuan resipi.
Jelasnya, sebelum sesuatu resipi dipilih, dia akan memikirkan tiga perkara utama iaitu bahan-bahan masakan yang mudah didapati, peralatan memasak yang dimiliki semua dan kelainan yang ingin dibawakan.
“Tiga perkara tersebut menjadi asas sebelum saya tentukan resipi yang ingin dimasak dan dikongsikan.
“Kelainan yang saya maksudkan adalah dari aspek sinematografi dan suntingan kreatif video selain idea yang menyeronokkan untuk dikongsikan bersama audiens,” katanya yang mengidolakan Jamie Oliver dalam bidang masakan.
Menurutnya, kecaman segelintir netizen turut menjadi salah satu cabaran buat dirinya dan perkara tersebut diambil sebagai satu nilai tambah untuk mempertingkat mutu persembahan videonya.
Ditanya mengenai perancangannya, Khairul Amin dengan bantuan beberapa rakannya berhasrat menghasilkan podcast sendiri yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“InsyaAllah saya dan beberapa rakan lain bakal melancarkan sebuah podcast selewat-lewatnya hujung tahun ini dan segala persiapan sedang kami lakukan.
“Menerusinya, saya akan berkongsikan dan mengetengahkan topik-topik santai dan tidak formal melibatkan kerjaya, anak muda, gaya hidup dan sebagainya mengikut kesesuaian,” katanya yang turut teruja pernah berkolaborasi secara audio dalam video masakan bersama penyanyi No.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Faizal Tahir sebelum ini.
Ujarnya lagi, selain podcast, dia juga giat menghasilkan pelbagai video rebiu berkaitan produk atau restoran selain merancang menyebarluaskan kerja seninya ke pelbagai medium lain seperti YouTube kelak.