KUALA LUMPUR – Sabah memerlukan bantuan kecemasan segera selepas kadar penularan wabak Covid-19 naik mendadak di negeri itu dalam tempoh tiga minggu lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengalihkan segala sumber yang ada ke Sabah, usaha ini tidak harus dibebankan pada satu kementerian sahaja.
“Rencana ini memerlukan dukungan politik dan kepimpinan yang jelas, penglibatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa kementerian lain bagi menggerakkan pasukan-pasukan perubatan dan kelengkapan perubatan yang diperlukan, mempertingkatkan aspek logistik bagi meluaskan lagi bantuan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Ahli Parlimen Port Dickson, pakar-pakar kesihatan telah mengesyorkan pengujian secara besar-besaran dijalankan sebagai langkah mengesan dan memisahkan mereka yang dijangkiti wabak itu.
“Setelah lapan bulan kita mendepani wabak ini, saya fikir kita sepatutnya telah mampu dan punya keupayaan untuk menjalankan pengujian besar-besaran.
“Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah secara ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain,” tambah beliau.
Beliau turut menggesa kerajaan untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat yang terkesan dalam memastikan mereka yang terpinggir dapat meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu, Anwar berkata adalah penting segala data mengenai kes, pengujian dan kadar
kematian diberikan secara terbuka dengan pakar dan pegawai kesihatan yang bekerjasama dengan kerajaan.
“Kekurangan maklumat akan menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara dari memberikan bantuan dan kepakaran yang mereka ada.
“Dasar dan kebijakan maklumat yang terbuka akan meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutamanya dalam suasana pandemik saat ini,” ujarnya. – K! ONLINE