fbpx

Polis tunggu arahan PPN berhubung kes dua wanita dipukul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Polis sedang menunggu arahan daripada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes dua wanita dicederakan seorang lelaki semasa mesyuarat sebuah parti politik di Teluk Intan, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan pihaknya sudah pun mengambil keterangan lapan individu.

Katanya, proses pendakwaan akan dijalankan selepas polis mendapat kebenaran PPN.

“Kita telah mengambil keterangan lapan individu termasuk suspek lelaki berusia 42 tahun.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada PPN dan kini menunggu keputusan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Anuar, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam, wanita berusia 32 tahun itu mendakwa telah ditolak oleh suspek manakala adik perempuannya berusia 31 tahun pula ditumbuk di muka.

Katanya, kejadian berlaku ketika kedua-dua wanita itu menghadiri mesyuarat parti di sebuah hotel di Teluk Intan namun mereka dihalang untuk memasuki dewan berkenaan.

“Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan setelah seorang lelaki yang ditugaskan sebagai penyelia majlis menolak wanita itu hingga jatuh dan menumbuk adiknya di bahagian muka sehingga pengsan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Berdasarkan laporan media melibatkan kes jenayah melibatkan ahli parti, Amanah menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dijalankan dan yakin siasatan yang adil akan dijalankan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI