Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
PORT DICKSON: Kerja-kerja pembersihan Pantai Cermin, Batu 10 dekat sini dihentikan hari ini selepas operasi yang dimulakan sejak enam hari lalu mula menunjukkan perkembangan positif.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim menjelaskan, keadaan pantai juga dilihat semakin beransur pulih dan bersih menyebabkan pihaknya mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi sepenuhnya hari ini.
“Hari ini adalah hari terakhir operasi pembersihan yang melibatkan anggota petugas dari APM serta agensi-agensi lain. Hari terakhir ini, untuk laksanakan kerja-kerja manual dengan menumpukan operasi untuk mengeluarkan pasir yang tercemar dengan tumpahan minyak.
“Alhamdullilah, pantai semakin bersih dan kini operasi pembersihan telah mencapai 90 peratus selesai. Bagaimanapun, pemantauan bersama JAS dan Jabatan Laut akan terus dilakukan di Pantai Cermin ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Fazlisyah, setakat petang ini, tiada lagi sisa tumpahan minyak yang berlaku di sekitar perairan Pantai Cermin sehubungan itu, satu mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Daerah Port Dickson akan diadakan mengenai perkembangan operasi pembersihan ini.
“Pemantauan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan dilakukan sekiranya masih ada lagi tompokan minyak dan membolehkan operasi semula dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, Jabatan Laut Malaysia, Mohd. Fairoz Rozali berkata, perkembangan positif sudah semakin dapat dilihat termasuk hidupan laut mula memasuki lokasi pantai berdekatan paya bakau.
“Hari ini kami melihat perkembangan positif, air laut juga semakin jernih. Banyak juga hidupan laut seperti ikan todak kecil, ketam sudah mula dijumpai hidup di kawasan marin berdekatan paya bakau ini.
“Bagaimanapun, hidupan laut ini mengambil masa satu hingga dua bulan untuk pulih secara keseluruhannya. Perbincangan kini dibuat sama ada operasi pembersihan dihentikan hari ini atau diteruskan esok,” katanya. K! ONLINE