BIELEFELD, Jerman – Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski (Lewy) terus menunjukkan ketajaman apabila berjaya mendahului carta penjaring terbanyak Bundesliga ketika ini.
Kejayaan itu hadir selepas Lewy, 32, berjaya meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Arminia Bielefeld pada aksi Bundesliga di Stadium Bielefelder Alm awal pagi semalam.
Kapten Poland itu sudah mengumpul tujuh gol daripada empat perlawanan setakat ini, satu jaringan mengatasi penyerang Hoffenheim, Andrej Kramaric yang terpaksa menjalani kuarantin kerana wabak Covid-19.
Ia sekali gus memberi bayangan Lewy bersedia mempertahankan anugerah penjaring terbanyak yang telah dimenanginya tiga musim berturut-turut sebelum ini.
Ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick mengakui, Lewyadalah salah satu daripada dua pemain terbaik dalam skuad bimbingannya selain Thomas Muller.
“Saya percaya kali ini Lewy akan berdepan tentangan sengit tetapi dengan apa yang telah ditunjukkan setakat ini, dia berada pada landasan tepat,” katanya.
Selain dua gol Lewy, Muller turut mencipta dua jaringan buat Bayern yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain awal pagi semalam selepas Corentin Tolisson diarahkan keluar padang pada minit ke-76.
Kemenangan dan kecemerlangan Lewy serta Mulller pastinya memberi tonik tambahan buat Bayern yang akan bertemu Atletico Madrid di Allianz Arena pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini. – AGENSI