Oleh IVAN AMIRUL
PENAMPANG – Satu kertas siasatan dibuka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi menyiasat penularan mesej tular menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kertas siasatan terbabit dibuka berkaitan kenyataan mengenai kompaun dikeluarkan kepada tiga individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada dalam kenderaan sewaktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Penularan mesej dan gambar yang tidak tepat itu merupakan suatu tindakan mampu mencemarkan imej pasukan polis terutamanya IPD Penampang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jelas beliau, polis memandang berat perkara ini dan memberi amaran keras kepada orang awam agar tidak menyebarkan sebarang info palsu berikutan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, satu mesej tular sejak beberapa hari lalu apabila dua individu didakwa yang dikenakan kompaun adalah disebabkan mereka tidak menjaga jarak sosial di dalam kenderaan. – K! ONLINE