fbpx

Kelengkapan logistik APM Kelantan cukup untuk harungi musim banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bot Angkatan Pertahanan Awam yang akan digunakan bagi menghadapi musim banjir.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh berdasarkan kekerapan pasukan itu melakukan latihan simulasi sebelum ini.

Pengarah APM Kelantan, Leftenan Kolonel Zainuddin Hussin berkata, kekuatan APM Kelantan adalah seramai 772 orang dan mereka sudah bersiap sedia dengan kelengkapan logistik.

“Sebanyak 12 lori, kenderaan pacuan empat roda (10 buah), ambulans (12 buah) dan 80 bot termasuk dua bot jenis Amphibious Sealegs berada pada tahap yang terbaik.

“Kita yakin dengan kekuatan pegawai dan anggota yang ada. Ia cukup bagi melaksanakan tugas tersebut untuk menghadapi Monsun Timur Laut itu dan ditambah pula dengan negara kini dilanda Covid -19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, operasi menyelamat berjalan lancar bersama agensi penyelamat lain seperti tahun sebelum ini.

Menurutnya, latihan untuk kemahiran anggota dilakukan secara dalaman sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKPP) di negeri ini.

Katanya, APM akan memastikan mangsa yang tinggal di kawasan mudah dinaiki atau ditenggelami air supaya berpindah awal.

“Kita akan memastikan mangsa yang perlu berpindah dan diangkut menggunakan bot atau lori perlu ada penjarakan fizikal serta mengikut SOP ditetapkan pihak berwajib apabila berada di pusat pemindahan.

“Seperti kebiasaan, kita akan berhubung dengan penghulu kampung dan anggota yang berada di kampung seperti di Ketereh, Rantau Panjang, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya.

Tambahnya, selain itu, APM juga mengikut keperluan dan aturgerak pasukan yang diselaraskan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI