LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memuji penjaga golnya Ederson selepas mempamerkan aksi yang cukup cemerlang ketika pasukannya itu menewaskan Arsenal 1-0 awal pagi semalam.
City sebelum ini dilihat gagal mempamerkan aksi cukup cemerlang selepas beberapa pemainnya mengalami kecederaan sekali gus gagal meraih dua kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Raheem Sterling membuka jaringan pembukaan di Stadium Etihad pada minit ke-23 dan penjaga golnya, Ederson menjadi tonggak penting kemenangan City selepas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Arsenal pada saingan tersebut.
“Ederson adalah penjaga gol yang luar biasa bagi kami. Dia (Ederson) seorang pemain yang profesional. Kami menjangkakan dia akan tampil cemerlang bersama pasukan ini selepas City menandatanganinya.
“Tidak semua pemain profesional sama terutama dari segi mentaliti. Hari pertama Ederson bersama City dia telah tunjukkan permainan yang cukup sempurna.
“Ederson menyelamatkan dua percubaan daripada Bukayo Saka and Pierre-Emerick Aubameyang. Saya sangat teruja dengan persembahan yang dia tunjukkan hari ini,” kata Guardiola.
Kemenangan itu sekali gus meningkatkan semangat City selepas gagal memenangi dua perlawanan EPL ketika menentang Leicester City dan Leeds.
Guardiola mengakui keputusan itu penting untuk keyakinan pasukannya dan sangat senang dengan usaha dan aplikasi yang ditunjukkan oleh pasukannya. – AGENSI