BEIJING – Satu fenomena kemunculan tiga matahari sempat disaksikan oleh sekumpulan penduduk di bandar Mohe, daerah Daxing’anling, wilayah Heilongjiang di China pada pagi Khamis lalu.
Akhbar Daily Mail melaporkan fenomena unik yang menampakkan bayangan dua matahari lain di langit berlaku antara pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi (waktu tempatan).
Ia adalah tempoh paling lama fenomena berlaku sepanjang tiga tahun lalu, sejak mula dikesan di wilayah berkenaan.
Pakar kaji cuaca menyatakan kemunculan tiga matahari atau dipanggil parhelion adalah fenomena semula jadi dan jarang berlaku di China.
Fenomena tiga matahari berlaku apabila cahaya matahari melalui partikel kristal ais dan awan sirus lalu membiaskan bayangan dua lagi matahari di kiri dan kanan.
Gambar dan video yang dimuat naik oleh pihak berkuasa menunjukkan tiga matahari dalam kedudukan melintang menyinari bandar yang dihuni kira-kira 20,000 penduduk.
“Pembiasan cahaya menghasilkan pelbagai jenis bentuk termasuk bulat seperti matahari sekali gus menjelaskan fenomena tiga matahari ini,” kata pegawai di Jabatan Pentadbiran Meteorologi China, Bian Yun.
Kali terakhir fenomena tiga matahari ini berlaku di China adalah pada 31 Disember lalu di bandar Khorgas, China. – Agensi