Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ALOR GAJAH – Kejadian tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson di Negeri Sembilan turut menjejaskan kawasan pesisir pantai dan pokok bakau Tanjung Tuan di sini.
Dalam tinjauan Kosmo! Ahad di Pantai Tanjung Tuan yang terletak kira-kira 650 meter dari Pantai Cermin mendapati kawasan itu turut terjejas dan diselaputi tumpahan tersebut.
Semalam memasuki hari keenam usaha lebih 100 kakitangan daripada 18 agensi negeri ini berhempas-pulas membersihkan tumpahan minyak di pesisir pantai dan kawasan pokok bakau di Tanjung Tuan di sini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Leftenan (Pertahanan Awam) Noor Jauzi Hashim berkata, kerja-kerja pembersihan itu dibuat secara manual termasuk mengutip, menyapu dan mencedok sisa minyak di kawasan terbabit.
“Seramai 115 kakitangan masih di lokasi untuk kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak ini termasuklah tenaga kerja dari Petronas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Alam
Sekitar, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah.
“Sisa minyak ini terpaksa dibersihkan secara manual termasuk mengutip, mencedok dan menyapu dan pembersihan turut dilakukan di kawasan pokok bakau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sisa minyak yang terkumpul akan dikutip oleh pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
“Pemantauan air turut dilakukan untuk meninjau keadaan perangkap minyak yang digunakan dan penggantian alat itu juga dibuat di lokasi kawasan paya bakau.
“Kerja-kerja pembersihan lain termasuklah mengutip sisa sampah dan kayu di kawasan terlibat,” katanya.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan, kawasan Pantai Cermin, Batu 10 di Port Dickson ditutup selama dua minggu bagi kerja-kerja pembersihan pantai sejak Rabu lalu.
Penutupan pantai untuk kunjungan awam itu dilakukan sehingga operasi pembersihan sisa-sisa minyak tersebut selesai.