Oleh ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU – Jabatan Penjara Kelantan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap semua banduan reman atau yang telah dijatuhi hukuman di Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Machang.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, semua banduan akan menjalani ujian di Jabatan Kesihatan Daerah berhampiran sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, banduan baharu perlu dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan tinggal di bilik berlainan selepas menjalani ujian saringan pada hari yang ke-13.
“Setakat ini, penjara Pengkalan Chepa sudah mencapai kesesakan melebihi 100 peratus manakala di Machang 75 peratus daripada kapasiti sebenar.
“Walaupun begitu, kita tetap berusaha mematuhi SOP yang diarahkan oleh MKN,” katanya.
Menurut Mat, Jabatan Kesihatan Kelantan telah bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka dan datang ke penjara setiap hari untuk menjalankan ujian saringan terhadap banduan baru.
Katanya, setakat ini, tiada banduan di penjara Kelantan dikesan positif Covid-19 dan pihak penjara akan terus berusaha untuk mengelakkan wabak itu merebak dalam tahanan.
Katanya, ini kerana, pihak penjara tidak mampu untuk membuat penjarakan sosial ekoran keadaan semakin sesak.
“Kita hanya menyediakan 14 bilik sebagai tempat kuarantin banduan yang baru masuk.
“Sebagai langkah untuk mematuhi SOP, perjumpaan keluarga dengan banduan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu bagi mengelak sebarang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan,” katanya. -K! ONLINE