KUALA LUMPUR – Video muzik (MV) rasmi lagu Siapa Tak Mahu dendangan penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mencatat jumlah tontonan setengah juta dalam masa sehari selepas dilancarkan.
Video rasmi lagu yang terkandung dalam album ManifestasSITI 2020 itu diluncurkan pada 16 Oktober lalu menerusi akaun YouTube rasmi Siti Nurhaliza.
Bagaimanapun, jumlah itu terus meningkat naik kepada hampir 700,000 tontonan pada hari ini.
Video muzik berkenaan diarahkan oleh Ghazi Maslan dan menampilkan pelakon jelita Mira Filzah dan aktor semakin meningkat naik Hun Haqeem sebagai model.
Sejak dilancarkan, Siapa Tak Mahu menjadi trending dalam laman Twitter kerana rata-rata peminat menyukai konsep yang dibawakan Siti Nurhaliza dalam video tersebut.
Dalam video muzik itu, Siti memegang watak sebagai perisik dan memerhatikan gelagat sepasang kekasih yang berkunjung ke sebuah muzium.
Malah busana yang digayakan oleh penyanyi berusia 41 tahun itu turut menarik perhatian peminat kerana beliau menukar sebanyak lima pasang baju berdasarkan karakter yang dibawakannya.
Peminat juga menyifatkan video muzik itu menampilkan kelainan daripada Siti selain memuji kualiti yang setaraf antarabangsa. – K! ONLINE