SEGAMAT, antara 10 daerah yang terletak di Johor Darul Takzim menyimpan 1,001 misteri dan kisah teladan yang menjadi sebutan dalam kalangan penduduk tempatan.
Legenda Puteri Gunung Ledang, antara kisah yang menjadi bualan di bibir masyarakat di negara ini sehingga ceritera tersebut di angkat ke layar perak.
Namun, terdapat kisah mitos yang tidak kurang hebatnya iaitu kisah Puteri Santan Bertapis. Ada antara penduduk tempatan sendiri tidak mengetahui mitos ini kerana kedudukan kampung yang dikaitkan dengannya agak terpencil iaitu di Kampung Bumbun, Pekan Jabi.
Penduduk Kampung Bumbun, Fuad Sudin, 55, berkata, ibunya Zaiton Harun, 87, sering berkongsi cerita mengenai hikayat Puteri Santan Bertapis sewaktu dia kecil.
Puteri Santan Bertapis dikatakan mendapat namanya apabila pergi ke tepi Sungai Kapeh di Kampung Bumbun untuk memerah santan kelapa bagi membuat persiapan kenduri bersama-sama penduduk.
Malangnya, ketika memerah santan, alat penapis kelapa dipegangnya terjatuh, lalu santan diperah tertumpah ke dalam sungai.
Air sungai menjadi keruh serta-merta kerana tumpahan santan kelapa itu. Sejak itu dikatakan air Sungai Kapeh sentiasa keruh.
“Segelintir penduduk kampung percaya ia ada kaitan dengan peristiwa tertumpahnya santan kelapa oleh sang puteri,” katanya.
Fuad berkata, kisah mitos Puteri Santan Bertapis tidak berakhir di situ.
Pada waktu itu, Raja Malim Deman, putera kepada Raja Malim Dewa yang memerintah pada ketika itu dikatakan tertawan dengan kecantikan Puteri Santan Bertapis.
Putera raja itu memberanikan diri untuk melamar puteri yang cantik rupawan itu.
Puteri Santan Bertapis pada mulanya enggan menerima lamaran dan ingin menguji kesungguhannya, meminta anak raja itu untuk memanah gelang yang dipakainya dengan memegangnya dari dalam rumahnya.
Syaratnya, Raja Malim Deman perlu berdiri memegang anak panah dan busur dari atas Bukit Bumbun.
Jarak antara rumah sang puteri dan bukit itu kira-kira 10 kilometer.
Dengan izin Yang Maha Esa, putera tersebut berjaya memanah tepat ke dalam gelang yang dipegang Puteri Santan Bertapis.
“Puteri yang masih was-was dan tidak percaya dengan kehandalan putera itu sekali lagi mencabar supaya memanah sebentuk cincin ang dipegangnya dari lokasi sama.”
“Kalau nak diikutkan cerita, Puteri Santan Bertapis enggan berkahwin dengan Raja Malim Deman. Itu yang membuatkan dia mencabar putera itu lagi dengan perkara tidak masuk akal,” jelas Fuad sambil ketawa kecil.
Apa yang mengejutkan, perkara sama juga terjadi. Putera raja itu berjaya memanah tepat ke dalam cincin di pegang puteri tersebut.
Disebabkan tewas dalam cabaran itu, Puteri Santan Bertapis tahu dia terpaksa mengotakan janjinya mengahwini Raja Malim Deman.
Bagaimanapun, Puteri Santan Bertapis mengambil keputusan melarikan diri ke Terengganu. Ada khabar angin yang mengatakan puteri itu melarikan diri bersama seorang putera kayangan.
Setibanya di Terengganu, Puteri Santan Bertapis menukar nama kepada Puteri Cahaya Bulan untuk mengelakkan dirinya dikenali.
Untuk mengingati kisah mitos ini, kampung tempat Puteri Santan Bertapis memegang gelang serta cincin itu dikenali sebagai Kampung Gelang Chinchin.
Kampung Bumbun pula mendapat nama daripada kisah Raja Malim Deman yang menyusun tinggi kayu bubu di tebing sungai untuk mengintai Puteri Santan Bertapis bersiram. Daripada kayu bubu itulah tercetusnya ilham menamakan Kampung Bumbun oleh penduduk kampung.
Dalam pada itu, Md. Rais Razak, 47, berkata, Segamat turut dikaitkan dengan kehebatan kerajaan Malim Dewa yang kononnya pernah wujud di satu kawasan luas merintangi Kuala Muar hingga ke hulu Segamat.
“Disebabkan murka pinangan puteranya, Raja Malim Deman di tolak Puteri Santan Bertapis, Raja Malim Dewa menyumpah daerah Segamat di landa banjir setiap tahun.
“Sebab zaman dahulu, kalau pinangan keluarga diraja ditolak, ia seperti penghinaan yang maha hebat. Marahnya boleh sampai sanggup jatuhkan sumpah,” jelasnya Md. Rais.