Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki warga emas dijumpai dalam keadaan terduduk di atas kerusi kayu dipercayai di bahagian dapur rumahnya di Lebuh Nipah, Taman Lip Sin di sini pagi tadi.
Mayat, Koh Hok Bee, 69, ditemui anggota bomba yang diarah memecahkan pintu kediaman berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pasukan polis untuk bantuan membuka pintu rumah yang berkunci pada pukul 9.58 pagi dan tiba ke situ kurang 15 minit kemudian.
“Tindakan anggota adalah dengan memecahkan pintu rumah tersebut dengan menggunakan peralataan menyelamat.
“Setelah pintu berjaya dibuka, kami menemui seorang lelaki dalam lingkungan 60-an didapati tidak sedarkan diri. Kematiannya telah disahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mayat Hok Bee kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang. – K! ONLINE