fbpx

Lebih 200 penduduk kampung lakukan ujian saringan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NORLIA RAMLI

BALING – Lebih 200 penduduk Kampung Padang Che Mas, Pulai di sini menjalani ujian saringan susulan penularan wabak Covid-19 bagi Kluster Tembok di Surau Al-Ubudiah di kampung itu hari ini.

Turut menjalani saringan ialah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang.

Penduduk kampung tersebut, Abdullah Tahir, 47, berkata, dia membawa anaknya, Mohd Nazirul Hakim, 12, untuk melakukan ujian saringan seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya akur dengan arahan KKM itu demi keselamatan ahli keluarga dan semua penduduk di sini,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia juga akan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di kawasan kampung tersebut.

“Setakat ini, keadaan di sini terkawal dan semua penduduk kampung yang diminta membuat ujian saringan memberi kerjasama yang baik,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azizan Wanik, 47, berkata, dia membawa tiga anak yang berusia antara lima hingga 10 tahun untuk melakukan ujian saringan seperti diarahkan KKM.

“Saya berharap anak-anak saya dan semua penduduk kampung yang melakukan saringan hari ini bebas daripada Covid-19,” katanya.

Tambahnya, dia telah membuat persediaan awal dengan membeli barang keperluan makanan untuk menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini hingga hujung bulan ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI