LONDON – Bintang tenis Britain, Johanna Konta membuat keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan WTA Terbuka Ostrava minggu depan di Republik Czech selepas bimbang dengan peningkatan semula kes Covid-19.
Konta dilihat mampu melakukan persiapan terbaik menjelang saingan musim 2021 nanti selepas gagal tampil cemerlang apabila tewas kepada pemain remaja Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff di pusingan pertama Terbuka Perancis bulan lalu.
Lebih mengecewakan, pemain ranking ke-13 dunia itu turut tersingkir di tangan pemain Romania, Sorana Cirstea di pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada September lalu.
Kegagalan itu, menyebabkan Konta membuat keputusan memecat jurulatihnya, Thomas Hogstedt yang sebelum ini melatih Maria Sharapova dan Caroline Wozniacki.
“Konta membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan WTA di Ostrava kerana bimbang dengan peningkatan kes Covid-19,” kata penganjur.
Pemain berusia 29 tahun itu berada di London ketika ini dan negara tersebut beralih ke fasa penutupan Tahap 2 yang bermaksud setiap rakyat negara itu dilarang untuk melakukan sebarang pertemuan.
Bintang Ukraine, Elina Svitolina antara pemain yang membuat keputusan untuk bertanding di kejohanan tersebut yang dijadualkan bermula pada Isnin. – AGENSI