BARCELONA – Pengendali Barcelona, Ronald Koeman bertegas untuk meletakkan pemainnya, Antoine Griezmann sebagai pemain sayap kanan dan mahu pemain itu membuktikan kemampuannya.
Pada aksi antarabangsa sebelum ini, jurulatih Perancis, Didier Deschamps mendedahkan bahawa Griezmann tidak begitu gembira dengan posisinya di Camp Nou ketika ini.
Griezmann juga selepas membantu Perancis menewaskan Croatia 2-1 dalam sidang akhbar memuji Deschamps yang dianggap memahami kehendaknya dan berjaya meletakkan dirinya di posisi kegemaran sebagai pemain tengah menyerang.
“Saya bercakap dengan Antoine kelmarin kerana saya mahukannya bukan kerana apa yang dia katakan.
“Saya beritahunya, apa yang dilakukan ketika ini adalah untuk memberikan yang terbaik buat pasukan. Saya tahu dia mampu bermain di sebelah kanan dan beberapa posisi lain.
“Dia sudahpun memberikan yang terbaik, bekerja keras dan sangat berdisiplin cuma memerlukan sedikit tuah di hadapan gol,” katanya.
Koeman mendedahkan bahawa dia tidak menganggap komen yang diberikan oleh Griezmann itu sebagai suatu menimbulkan perasaan kurang senang.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan Antoine, saya hanya mahu melihat kelab ini menjadi pasukan yang terbaik. Tugas saya untuk memastikan setiap pemain mampu memberikan yang terbaik untuk pasukan tetapi saya hanya mampu memilih 11 pemain sahaja.
“Saya tidak meminta Antoine bermain di posisi yang terlalu jauh daripada kebiasaan. Dia lebih berminat untuk berperanan di bahagian tengah tetapi kami tidak boleh meletakkan dua pemain di bahagian tersebut,” jelasnya. – AGENSI