Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
PORT DICKSON – Hidupan laut seperti ketam dan udang mati berikutan kejadian tumpahan minyak sehingga mengakibatkan pencemaran di Pantai Cermin, Batu 10, dekat sini sejak Isnin lalu.
Sukarelawan yang melakukan pembersihan di lokasi tersebut mendapati banyak hidupan laut yang mati selain menemui udang diselaputi sisa minyak.
Haiwan-haiwan tersebut ditemui di kawasan pokok bakau di pantai yang terjejas akibat tumpahan minyak.
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Nora Basrawi, 44 berkata, dia sedih apabila melihat banyak hidupan laut mati semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pokok bakau.
“Kerja-kerja pembersihan di sini memang meletihkan tapi lebih sedih apabila melihat hidupan laut mati disebabkan tumpahan minyak.
“Ini kali pertama kali saya menyertai operasi tumpahan minyak sepanjang saya berkhidmat dengan Rela namun pengalaman pertama ini memang agak menyedihkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Muhamad Danial Hakim Rostam, 20, berkata, operasi pembersihan ini agak rumit berbanding ketika dia mengikuti operasi di pusat kuarantin penempatan pesakit Covid-19.
“Ini kali pertama menyertai operasi tumpahan minyak dan ini operasi paling mencabar kerana perlu membersihkan batu dan perlu mengelap minyak.
“Paling sedih apabila saya melihat tumpahan ini menyebabkan ekosistem dan habitat laut mati, semasa pembersihan kami menjumpai ketam dan udang yang terkena minyak,” katanya.
Sementara itu, operasi pembersihan pantai hari ini melibatkan kerja-kerja mencedok yang turut disertai 30 anggota tentera dari Rejimen Kedua Kor Armor Diraja, Port Dickson dan 30 anggota APM.