DENVER- Kekasih Chris Watts, lelaki yang membunuh isteri dan tiga anaknya dua tahun lalu memohon menukar namanya dalam satu permohonan yang dibuat di Daerah Jefferson, Colorado.
Nichol Kessinger, 32, dalam permohonannya memberi alasan menukar nama supaya dapat memulakan hidup baharu dan melupakan kes hitam itu.
Kes pembunuhan Watts menjadi tular di media sosial baru-baru ini apabila rangkaian penstriman Netflix menerbitkan dokumentari tentang peristiwa kejam itu.
Dalam kejadian itu, Watt mengaku bersalah membunuh isterinya Shannan,34, dan tiga anak mereka, Bella,4, Celeste,3, dan Nico (15 minggu dalam kandungan) dalam percubaan meninggalkan keluarganya untuk bersama Kessinger.
Watt dan Kessinger adalah rakan sekerja di sebuah syarikat petroleum di Colorado.
Kessinger membantu pihak polis mendedahkan perbuatan Watts apabila tampil mengakui tentang hubungannya dengan lelaki itu sekaligus membongkar motif pembunuhan keluarga tersebut.
“Pada penghujung 2018, Nichol berpindah dari Colorado ke negeri lain dan memulakan pekerjaan baharu di bawah program perlindungan saksi.
“Dia memang sudah lama berhasrat ingin menukar namanya kerana dia tidak mahu dikenali sebagai perempuan simpanan yang menyebabkan seorang ibu dan tiga anaknya dibunuh,” ujar sumber kepada portal Radar Online baru-baru ini.
Sejak dokumentari pembunuhan keluarga Watts bertajuk American Murder: The Family Next Door ditayangkan di Netflix dua minggu lalu, menarik perhatian meluas netizen tentang kes yang berlaku pada Ogos 2018 ini.
Permohonan penukaran nama Kessinger dijadualkan berlangsung Khamis ini. – Agensi