PRINSIPAL pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Razlan Razali mencadangkan tiga pasukan kelas Moto2 kepada pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah bagi membantunya kekal bersaing dalam saingan musim depan.
Pasukan Hafizh, Aspar Team telah melengkapkan barisan pelumbanya musim depan sekali gus menyebabkan hala tuju pelumba 26 tahun itu menjadi tanda tanya.
Pendahulu kelas Moto3 musim ini, Albert Arenas diangkat pasukan ke kelas Moto2 musim depan bersama rakan senegaranya, Aron Canet di Aspar.
“Saya sudah kenalkan beberapa pasukan Moto2 kepada pengurus Hafizh supaya dia ada pilihan untuk tahun 2021 nanti. Lebih kurang dua atau tiga pasukan telah saya bentangkan kepada pihak pengurusannya.
“Saya tidak berjumpa dengan Hafizh selepas Grand Prix (GP) Barcelona berakhir dan saya harap pengurus Hafizh dapat melakukan yang terbaik nanti,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Razlan menjadi individu penting perkembangan karier Hafizh selepas menjadi tunjang kepada penyertaannya dalam kelas premier pada musim 2018 dengan menyertai pasukan Tech3 dan menamatkan saingan musim di tangga ke-16 dengan mengumpul 46 mata keseluruhan.
Bagaimanapun, selepas pasukan itu mengambil keputusan bekerjasama dengan pengeluar KTM, Hafizh bergelut dengan jentera KTM RC16 menyebabkan pasukan itu membuat keputusan tidak menyambung kontraknya.
Razlan sekali lagi membantu Hafizh dan membantunya menyertai pasukan Aspar dalam saingan Moto2 musim ini. Ketika ini, Hafizh yang terkenal dengan gelaran El Pescao hanya berada di kedudukan ke-19 senarai pelumba dengan meraih 18 mata.