KUALA LUMPUR – Isu artis dikaitkan dengan aktiviti Macau Scam terus menjadi-jadi apabila giliran pelakon, Chacha Maembong pula menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab.
Sama seperti Zulin Aziz yang turut difitnah, Chacha dikatakan menerima dana untuk perniagaannya daripada individu berpangkat Datuk yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes pengubahan wang haram.
Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Ismail, 24, memberitahu, dia turut dituduh terlibat dalam aktiviti Macau Scam dan perjudian online.
Perkongsiannya itu dimuat naik menerusi satu foto bertulis dalam Instagramnya hari ini.
“Baru-baru ini, saya mengetahui terdapat beberapa individu dalam media sosial telah memfitnah mengenai saya telah memulakan perniagaan dengan menggunakan dana daripada individu berpangkat Datuk. Malah turut dituduh terlibat dalam Macau Scam dan judi online.
“Akibat daripada kenyataan itu, saya telah mendapat kecaman dalam media sosial sehingga menjejaskan reputasi dan perniagaan saya,” tulisnya.
Tambah adik kepada pelakon Emma Maembong itu, tujuan dia memaklumkan perkara tersebut ialah ingin menafikan tuduhan yang dilemparkan.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya semua fitnah dan kenyataan palsu itu.
“Sebelum pembocoran Macau Scam, saya tidak mengenali individu bergelar Datuk itu, malah tidak pernah berjumpa atau berhubung dengannya,” katanya.
Pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan itu juga mengesahkan gambar tular dia bertemu dengan salah seorang individu yang disiasat hanyalah sebagai kenalan biasa.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa sumber dana perniagaan saya merupakan hasil daripada titik peluh sendiri.
“Untuk makluman, produk keluaran saya ialah kerjasama dengan sebuah syarikat ternama di Malaysia dan Asia, tiada kaitan dengan penglibatan dana atau modal daripada sumber lain,” ujarnya.