Oleh WAT KAMAL ABAS
TAIPING – Orang ramai dinasihat untuk menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengimbas kod bagi pendaftaran di sesebuah premis memandangkan ada aplikasi lain yang tidak memenuhi kriteria seperti dikehendaki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Larut, Matang dan Selama, Noor Azni Muhammad Arshad berkata, antara ciri-ciri yang tidak memenuhi kriteria KKM adalah aplikasi tersebut tidak mempunyai sejarah simpanan rekod imbasan.
“Aplikasi MySejahtera diuruskan oleh agensi kerajaan dan kita sarankan agar orang ramai dapat mengunakan applikasi MySejahtera kerana kemampuannya menetapi kriteria dalam menyimpan dan membuktikan butiran sejarah rekod imbasan yang telah di buat oleh penggunanya.
“Sekiranya ada yang mengunakan alat aplikasi pengimbas kod selain daripada MySejahtera dan ia boleh menunjukkan bukti butiran sejarah imbasan ketika di periksa oleh agensi penguatkuasa, kita mungkin boleh mempertimbangkannya untuk tidak mengkompaun individu tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi menjawab soalan tentang kegagalan seorang pengunjung di sebuah pub di Taiping bagi menunjukkan bukti sejarah imbasan ketika di periksa dalam operasi pemantauan penguatkuasaan secara bersepadu pada semalam.
Tambah Noor Azni, bagi sesiapa yang mengunakan secara manual, butiran diri seperti nama dan nombor telefon mestilah ditulis dalam buku catatan dengan tepat.
“Sekiranya diperiksa oleh penguatkuasa dan mendapati ia tidak betul, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu tersebut kerana cuba memalsukan butiran diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi pemantauan penguatkuasaan dijalankan di sekitar Taiping bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terutamanya ketika Taiping kini berada dalam zon merah.
“Kebanyakkan kesalahan yang dilakukan orang ramai pada ketika berada di premis makanan ialah tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di meja makan,” katanya.
Dalam operasi pada semalam, sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan kepada lapan individu dan dua pemilik premis kerana gagal membuat imbasan MySejahtera dan mencatat nombor nama serta nombor telefon masing-masing. -K! ONLINE