PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kebakaran di kediamannya di Pangsapuri Taman Sri Manja di sini semalam.
Mangsa berusia 72 tahun itu dikatakan maut akibat melecur 100 peratus pada seluruh anggota badan.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.51 malam.
Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala dan BBP Seksyen 7 dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian kita dapati api sedang marak di tingkat satu pangsapuri terbabit.
“Hasil pemeriksaan, pihak bomba menemui mangsa di bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada pukul 10.15 malam.
“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE