fbpx

Taikun judi online dikehendaki polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keratan Kosmo! 16 Oktober 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Alvin’ yang menjadi buruan polis selepas berjaya meloloskan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Ahad lalu merupakan seorang taikun judi online di negara ini.

Lelaki itu dikenali sebagai ‘kartel Low Yat’ kerana pengli­batannya yang aktif dalam perniagaan judi online dan bero­perasi di kawasan segi tiga emas, Bukit Bintang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak polis percaya lelaki itu mempu­nyai banyak maklumat berhubung rangkaian serta aktiviti judi online di negara ini.

“Operasi memburu lelaki itu sedang diperhebatkan sekali gus memastikan kegiatan judi online di Malaysia lumpuh.

“Sejak awal lagi saya tegaskan, saya mahu aktiviti judi online di Malaysia dihapuskan. Sama ada ia mampu dilakukan atau tidak, saya akan terus berusaha ke arah itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut termasuk sekiranya terdapat penglibatan polis yang melin­dungi jenayah tersebut.

Jelas Abdul Hamid, setakat ini, pihaknya masih menunggu laporan siasatan daripada SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, ahli perniagaan itu berselindung di sebalik perniagaan komputer dan menggunakan khidmat seorang lelaki yang menggunakan gelaran Datuk palsu sebagai orang tengah.

Lelaki tersebut kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Rangkaian kartel itu dipercayai sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk diberikan kepada pegawai dan anggota berkepentingan bagi memastikan aktiviti haram mereka tidak diusik.

Selain itu, individu yang sama turut menggunakan selebriti untuk ‘mencuci duit’ hasil kegiatan haram tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pihaknya sedang mencari seorang lelaki yang me­larikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki itu iaitu Goh Leong Yeong, 32, dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 (1)(C) Akta Judi Terbuka 1953 berhubung penganjuran judi online di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Deputi Superintendan Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993 622.

“Orang ramai juga boleh meng­hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Faizal Asuar di talian 017-3126 411,” katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki yang disiasat berkaitan kes Macau Scam dipercayai dibantu oleh dua pe­ngawal peribadinya ketika me­larikan diri dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Ahad lalu.

Penjelasan itu dibuat oleh SPRM selepas lima hari lelaki tersebut melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan suruhanjaya berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI