fbpx

K2

Sesal bernikah rahsia dengan penagih ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SESETENGAH rakyat Malaysia nekad bernikah di Thailand bagi menyembunyikan perkahwinan mereka daripada orang lain. – GAMBAR HIASAN

ATAS dasar cinta, Maria (bukan nama sebenar), 30, sanggup mengetepikan keluarga hanya untuk menagih kasih suami orang yang berusia 13 tahun lebih tua daripadanya.

Hati Maria tertawan dengan lelaki itu yang disifatkannya sebagai seorang yang budiman dan romantis.

Apa sahaja yang diperlukannya, pasti dipenuhi Azlan (bukan nama sebenar), 43, seorang kontraktor di utara tanah air.

Sebut sahaja apa dimahukan Maria, daripada keperluan harian sehinggalah pakaian dan beg berjenama yang tidak mampu dibeli dengan pendapatannya sebagai penyelia kafe hotel akan dituruti Azlan.

Perhatian yang diberikan bapa kepada empat anak itu memikat hati Maria sehingga perkenalan mereka bertukar menjadi bibit-bibit percintaan.

Percintaan mereka bagaimanapun tidak mendapat restu keluarga Maria. Lebih malang, Azlan sendiri tidak mahu hubungan istimewa tersebut diketahui isterinya.

“Dia mahu merahsiakan hubungan cinta kami daripada isterinya walaupun saya bersedia untuk bermadu.

“Saya sendiri tidak tahu apa sebabnya sehinggalah dia mencadangkan supaya kami bernikah di Thailand secara rahsia,” katanya.

Menurut Maria, hatinya berbunga apabila dilamar Azlan, namun pada masa sama resah memikirkan bagaimana untuk menjelaskan perkara itu kepada ibu bapanya di kampung.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk bernikah secara rahsia dengan Azlan tanpa pengetahuan orang lain termasuk keluarga kerana terlalu mencintainya.

“Saya sedar keputusan yang saya buat itu salah tetapi pada masa itu, saya tidak boleh berfikir dengan waras kerana mabuk bercinta,” ujarnya.

Menggunakan ejen nikah Siam, Maria dan Azlan selamat dinikahkan di Thailand.

 

AIR ketum yang boleh memberi kesan khayal ini dihasilkan daripada pokok ketum. – GAMBAR HIASAN

 

“Kami melayari perkahwinan dengan bahagia walaupun suami banyak meluangkan masa dengan isteri pertama dan anak-anaknya.

“Saya reda dan sedar bahawa saya bermadu serta pasrah hubungan kami terus jadi rahsia.Azlan sentiasa mengingatkan saya supaya tidak sesekali berkongsi gambar kami di media sosial,” katanya.

Hubungan mereka baik-baik sahaja pada tahun pertama, namun Azlan mula menunjukkan perangai sebenarnya apabila memasuki tahun kedua.

“Saya terkejut apabila Azlan secara terang-terangan mengambil air ketum setiap hari dan lebih teruk pernah dilihat mengambil ganja. Dia rupanya penagih air ketum dan tidak malu-malu untuk minum di hadapan saya. Malah, ada ketika dia membawa saya semasa mahu keluar membeli air tumbuhan itu daripada runner.

“Azlan juga bertukar menjadi panas baran dan kerap memarahi saya hanya untuk perkara kecil seperti lambat menyediakan kopi,” ujarnya.

Lebih menyedihkan Maria apabila Azlan juga enggan mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia walau Maria sentiasa mendesaknya.

Selepas lebih setahun memendam rasa dengan hubungan yang semakin renggang kerana kerap berselisih faham, Maria membuat keputusan untuk mengadu tentang masalah rumah tangganya di mahkamah syariah.

“Berang dengan tindakan saya itu Azlan menjatuhkan talak ke atas saya.

“Pada masa itu, dunia saya terasa kelam kerana tidak menyangka dia sanggup menjatuhkan talak hanya kerana permintaan saya untuk mendaftarkan pernikahan kami secara sah mengikut undang-undang di Malaysia,” ujarnya.

Kata Maria, dia kemudian memaklumkan kepada pihak mahkamah syariah bahawa suami telah melafazkan talak, lalu kedua-dua mereka dipanggil untuk hadir di mahkamah tersebut untuk proses pengesahan perceraian.

“Sebelum itu, proses pendaftaran pernikahan perlu dibuat mengikut undang-undang sebelum proses pengesahan perceraian dapat dilakukan,” katanya.

Biarpun Maria kini sah memegang status janda, dia lega apabila tidak perlu lagi hidup dalam kepura-puraan.

“Saya menyesal dengan keputusan terburu-buru yang dibuat hanya kerana cintakan suami orang.

“Saya telah menjelaskan semuanya kepada keluarga. Walaupun mereka kecewa dengan perbuatan saya, mereka tetap menerima saya seadanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI