ROM – Menteri Sukan Itali, Vicenzo Spadafora percaya bintang Juventus, Cristiano Ronaldo mungkin telah melanggar protokol kawalan wabak Covid-19 apabila memasuki Itali dari Portugal.
Ronaldo terbang pulang ke Turin biarpun telah diuji positif koronavirus ketika bersama pasukan kebangsaan Portugal yang mengharungi saingan Liga Negara-Negara Eropah sebelum ini.
“Saya fikir dia telah melakukan kesalahan tersebut sekiranya tidak ada dokumen pelepasan daripada pihak yang bertanggungjawab,” jelas Spadafora.
Bagaimanapun, Juventus mempertahankan tindakan bintangnya itu apabila mengesahkan bahawa pesawat persendirian yang dinaiki Ronaldo telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa kesihatan negara itu.
“Ronaldo kembali ke Itali menggunakan pesawat peribadi dan telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa kesihatan dan dia akan menjalani kuarantin di kediamannya,” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Juventus.
Ronaldo terpaksa meninggalkan kem latihan skuad Portugal pada Rabu lalu dan kembali ke kediamannya di Itali.
Perkembangan itu menyaksikan kapten Portugal itu bakal terlepas aksi Serie A menentang Crotone dan saingan Liga Juara-Juara menentang Dynamo Kiev.
Selain Ronaldo, rakan sepasukannya, Weston McKennie turut diuji positif koronavirus dan terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan perlu mendapatkan dua hasil ujian negatif sebelum dibenarkan kembali menyertai pasukan itu.
Keseluruhan pasukan Juventus termasuk pemain dan staf menjalani proses kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak sebarang insiden yang tidak diingini sebelum aksi menentang Crotone. – AGENSI