fbpx

Polis tahan wanita pakai gelang merah jambu di kedai runcit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh IVAN AMIRUL

LABUAN – Seorang wanita memakai gelang merah jambu ditahan polis ekoran didapati ingkar perintah kuarantin dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, wanita berusia 32 tahun berkenaan ditahan selepas didapati berada di sebuah kedai runcit untuk membeli barangan di kawasan Bandar Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, penahanan suspek adalah hasil maklumat daripada orang awam berikutan menyedari wanita terbabit memakai gelang berwarna merah jambu.

“Suspek sebelum ini dikenalpasti masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu sebelum mendapat perintah kuarantin sehingga 10 Oktober.

“Bagaimanapun, wanita berkenaan kemudiannya diarahkan menjalani sambungan kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 29 Oktober depan sementara menunggu keputusan ujian saringan kali kedua.

“Bagaimanapun, suspek ingkar dan melanggarkan perintah kuarantin berkenaan dengan singgah ke kedai runcit bersama suaminya dipercayai ketika dalam perjalanan pulang daripada hospital,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

Dalam pada itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan pegawai berkuasa.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pula jika disabitkan bagi kesalahan pertama hukuman penjara tempoh tidak lebih dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya hukuman penjara tempoh tidak melebihi lima tahun, atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Muhamad Farid berkata, bagi kesalahan berterusan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI