fbpx

Polis Batu Gajah tingkat penguatkuasaan PKPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Adnan Basri (tengah) mengedarkan poster pencegahan Covid-19 kepada peniaga pada operasi dan pemantauan kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah Batu Gajah. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

Oleh ASLIZA MUSA

BATU GAJAH – Tidak memakai pelitup muka antara jenis kesalahan yang kerap dilakukan orang awam di daerah ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kesalahan itu diikuti dengan tidak merekod nama pelanggan serta pekerja di premis perniagaan meskipun ia adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Dari segi kadar pematuhan orang ramai di daerah Batu Gajah setakat ini memuaskan namun terdapat beberapa kesalahan yang masih dilakukan terutama tidak memakai pelitup muka.

“Kita masih lagi berusaha meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sekali gus memastikan negeri Perak khususnya di Batu Gajah sebagai kawasan yang selamat,” katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi penguatkuasaan yang diadakan di sekitar Batu Gajah semalam.

Dalam operasi itu, seramai tujuh pegawai dan 63 anggota terlibat yang terdiri daripada pelbagai cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Penerangan dan Kementerian Kesihatan.

Menurut Ahmad Adnan, operasi dan pemantauan akan terus diperkasakan terutama di kawasan tumpuan ramai dan premis perniagaan seperti pasar awam, kedai gunting rambut dan kedai telekomunikasi.

Katanya, dalam operasi yang dilakukan semalam, lapan kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di mana tiga daripada pihak polis, empat kompaun oleh Kementerian Kesihatan dan satu kompaun oleh MDBG.

“Selain itu, 13 saman trafik juga dikeluarkan dalam sekatan jalan raya yang dijalankan pada operasi selama dua jam itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI