fbpx

Pas belum ada kata putus bertanding PRK Batu Sapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Pas Sabah memaklumkan tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat setakat ini bersama Pas Pusat berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, ia termasuklah samaada parti itu berhasrat untuk meletakkan calon atau mengambil keputusan tidak bertanding.

“Secara prinsipnya mungkin isu Covid-19 ketika ini belum membolehkan parti belum membuat keputusan.

“Saya lihat situasi semasa ketika ini, lebih baik kita tidak meletakkan calon supaya mampu menghindar dari menjadi salah satu entiti yang boleh menggalakkan penular wabak Covid-19 di negeri ini.

“Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada pimpinan Pas Pusat,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada mesyarakat Islam dan Kristian di Kampung Keliangau, Menggatal hari ini.

Dalam pada itu, ditanya berkaitan gerak kerja Pas Sabah sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding dalam PRK Batu Sapi akan datang, beliau menyatakan masih terlalu awal untuk memperkatakan hal itu.

“Kita akan berbincang selepas semua keputusan rasmi sudah dibuat.

“Mungkin ada perbincangan yang lebih spesifik ke arah PRK Batu Sapi selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Aliakbar menyatakan sebanyak 60 bakul makanan terdiri barangan keperluan asas termasuklah beras, tepung, telur dan ayam diberikan kepada penduduk setempat di Kampung Keliangau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik menyatakan pemberian sumbangan terbabit adalah fasa pertama manakala pemberian sumbangan seterusnya sebanyak 80 bakul makanan bakal disalurkan untuk fasa kedua pada hari Selasa minggu depan.

Sementara itu, mengenai penerimaan penduduk setempat ke atas sumbangan disalurkan Pas Sabah di kawasan berkenaan yang kebanyakkan masyarakatnya beragama Kristian, beliau berkata, ia bukanlah isu besar kerana pihaknya sentiasa menghulurkan bantuan tanpa melihat latar belakang agama mahupun kaum.

“Hal ini yang sering disalah erti kerana sesetengah pihak menyatakan Pas selalu meminggirkan masyarakat bukan Islam.

“Ini suatu persepsi yang sangat negatif. Kita di Sabah ini hidup dalam kepelbagaian budaya dan nilai seumpama itu tidak ada dalam kalangan masyarakat.

“Cuma adakalanya terdapat pihak tertentu yang cuba membuat provokasi atau bersifat prajudis terhadap Pas,” katanya.

Terdahulu, PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI