LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji apa yang dilakukan oleh rakan sejawatnya, Carlo Ancelotti untuk membantu pasukan Everton mendahului carta liga menjelang pertemuan derbi dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Goodison Park malam ini.
Sebagai rekod, pengendali kelahiran Itali itu telah memberikan impak besar terhadap skuad The Toffees yang berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut pada saingan awal musim ini.
Sementara itu, Liverpool pula mempamerkan aksi ‘yo-yo’ dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lepas termasuk mengalami kekalahan memalukan 2-7 kepada Aston Villa awal bulan ini.
Kata Klopp, pengalamannya bersaing dengan pasukan bimbingan Ancelotti dalam saingan Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini telah memberi gambaran mengenai kesukaran untuk mengutip mata.
“Ancelotti adalah pengurus berkelas dunia yang memiliki reputasi hebat dalam kariernya dan sayalah yang paling suka apabila dia sah menjadi pengurus Everton kerana dia boleh memberi cabaran sengit buat pasukan kami.
“Berdasarkan saingan awal musim ini, Everton sudah mempamerkan aksi yang cukup positif dan saya tidak terkejut kerana pembelian pemain yang mereka lakukan cukup berkualiti selain tidak menunggu lama untuk memberi impak.
“Mengenai perlawanan nanti, saya harap pasukan dapat mempamerkan aksi yang terbaik selain melupakan kekecewaan sebelum ini.
“Kami memiliki kualiti dan barisan pemain perlu yakin dengan keupayaan pasukan,” katanya. – AGENSI