Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Bunyi pelik didengari suri rumah dipercayai daripada cerobong asap dapur rumahnya membawa penemuan seekor kucing betina dalam kejadian di Seksyen 3, Petaling Jaya hari ini.
Kejadian itu disedari pukul 1 petang ketika wanita berusia 40an itu mahu memasak di dapur berkenaan sebelum cuba suaminya cuba membuka cerobong tersebut namun gagal.
Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib
Mohamad Isahak berkata, sepasukan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.11 petang.
“Setibanya di dapur itu, anggota kita segera membuka struktur cerobong asap tersebut dan mendapati seekor kucing berada di dalamnya.
“Kucing betina yang tersangkut itu kemudian berjaya dikeluarkan dalam tempoh 15 minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Muhammad Najib, pihaknya tidak menolak kemungkinan kucing tersebut masuk ke cerobong menerusi bumbung rumah.
Ujarnya, haiwan berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudiannya diserahkan kepada pasangan suami isteri itu yang mahu memeliharanya.
“Mujur kejadian itu disedari awal dan kucing tersebut boleh mati sekiranya menghidu asap yang banyak,” katanya. – K! ONLINE