Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
PORT DICKSON – Operasi pembersihan Pantai Cermin, Batu 10, dekat sini memasuki hari kelima hari ini selepas insiden tumpahan minyak yang berlaku Isnin lalu.
Tinjauan Kosmo! hari ini ke lokasi kejadian turut dimaklumkan oleh sukarelawan pembersihan yang menemukan banyak habitat laut yang mati serta udang dan udang kara yang diselaputi sisa minyak.
Haiwan-haiwan tersebut ditemukan di kawasan pokok bakau di pantai tersebut yang turut teruk terjejas akibat tumpahan minyak tersebut.
Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Nora Basrawi, 44 berkata, dia sedih apabila melihat banyak hidupan laut mati semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pokok bakau.
“Kerja-kerja pembersihan di sini memang meletihkan tapi lebih sedih apabila lihat kehidupan laut mati disebabkan tumpahan minyak.
“Ini kali pertama kali saya menyertai operasi tumpahan minyak sepanjang saya berkhidmat dengan Rela namun pengalaman pertama ini memang agak menyedihkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Muhamad Danial Hakim Rostam, 20, berkata, operasi pembersihan itu agak rumit berbanding ketika dia mengikuti operasi di pusat kuarantin penempatan pesakit Covid-19.
“Ini kali pertama menyertai operasi tumpahan minyak dan ini operasi paling mencabar kerana perlu membersihkan batu dan perlu mengelap minyak.
“Paling sedih apabila saya melihat tumpahan ini menyebabkan ekosistem dan habitat laut mati, semasa pembersihan kami menjumpai ketam, udang kara yang terkena minyak,” katanya.
Sementara itu, operasi pembersihan pantai hari ini melibatkan kerja-kerja ‘scooping’ yang turut disertai 30 anggota tentera dari Kem (Dua Armor) Port Dickson dan 30 anggota APM. – K! ONLINE