fbpx

Jenazah Abdul Aziz selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISTERI Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Rosmawati menyiram air di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunung Mesah Hilir di Gopeng hari ini.

Oleh ASLIZA MUSA

GOPENG – Jenazah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunung Mesah Hilir di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan pada pukul 9.20 pagi selepas disembahyangkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur selepas solat Subuh.

Hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Saiful Adli Mohd. Arshad dan Orang Besar Jajahan Kampar, Toh Sedewa Raja Datuk Abdul Talib Abd. Fahmi.

Allahyarham Abdul Aziz yang meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat sakit jantung itu meninggalkan empat orang anak hasil perkahwinannya bersama isteri, Puan Sri Rosmawati Abdul Ghafar.

Anak sulung Allahyarham, Mohd. Nazasli, 52, ketika ditemui selepas majlis pengebumian berkata, bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan Ara Damansara di Selangor sejak lebih sebulan lalu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Arwah bapa menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada pukul 11.52 malam,” katanya.

Allahyarham yang merupakan bekas guru itu pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Pelajaran pada tahun 1975 yang ketika itu disandang Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Dr. Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri keempat dari tahun 1981 hingga 1999.

Beliau kemudiannya meneruskan khidmat dalam politik dengan menjadi Ahli Parlimen Shah Alam dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dari tahun 2004 hingga 2008.

Beliau juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga aktif dalam Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan MPM. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI