Oleh IVAN AMIRUL
TAWAU – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Sukan Tawau kini siap 70 peratus dan dijangka beroperasi mengikut jadual pertengahan Oktober ini.
Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr. Shamsul Bahary Muhamad berkata, persiapan membawa masuk peralatan, kelengkapan dan fasiliti hospital giat dijalankan ketika ini.
“Persiapan juga melibatkan atur gerak kemudahan perubatan ATM dari Bravo Kompeni, Batalion Pertama Perubatan (B Komp 1 Bn Ubat) yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.
“Ujian penuh semua sistem di hospital ini turut dijangka bakal dijalankan pada Isnin minggu depan (19 Oktober) sebelum beroperasi sepenuhnya 20 Oktober ini,” katanya di sini tadi.
Dalam pada itu, Shamsul Bahary berkata, Tim Induk pasukan petugas perubatan membabitkan empat pegawai bersama 29 anggota lain-lain pangkat yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Tawau sekitar pukul 11.49 pagi tadi.
Menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400, menurutnya kumpulan petugas perubatan tentera berkenaan dianggotai Timbalan Komander Hospital Medan ATM, pakar bedah, pakar bius dan pakar kecemasan serta pegawai dan petugas kesihatan ATM. -K! ONLINE