KUALA LUMPUR – Ibadah puasa tahun lalu menjadi pencetus semangat buat seorang pegawai di sebuah agensi kerajaan mencapai impiannya untuk memiliki berat badan ideal.
Kesungguhan Muhammad Faiz Saumi, 30, membuahkan hasil selepas dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 50 kilogram (kg) iaitu daripada 116 ke 66 kg dalam tempoh setahun.
Muhammad Faiz berkata, pengurangan berat badan sebanyak 20 kg pada bulan Ramadan membuatkan dia nekad untuk mengekalkan amalan diet berterusan dengan cara mengawal pengambilan makanan serta gula dalam minuman.
“Ramai tidak menyangka saya mampu mengurangkan berat badan dalam tempoh tersebut tanpa mengambil sebarang suplemen walhal saya tergolong dalam kalangan obesiti sejak berusia 10 tahun.
“Misi utama saya adalah untuk kuruskan badan dan membina stamina, jadi sebaik berjaya fasa pengurangan pengambilan makanan dan gula, saya mula melakukan senaman bagi memastikan saya kekal aktif,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu, dia amat menitikberatkan jumlah kalori makanan dalam dietnya.
“Saya hanya minum air putih dan memilih makanan yang mudah didapati di kedai mahupun restoran selain masak sendiri.
“Saya juga melakukan senaman tabata ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan lari setempat di rumah,” ujarnya yang kini menetap di ibu negara.
Mengulas lanjut, anak sulung daripada lima beradik itu berkata, fokusnya kini bukan untuk membina otot seperti lelaki ‘sado’ lain sebaliknya dia mahu kekal aktif dan mengamalkan hidup sihat.
“Saya kini memakai seluar bersaiz 32 berbanding 42 sebelum ini. Setiap amalan yang dikongsikan di laman sosial Facebook saya akan menjadi inspirasi buat orang lain pula,” katanya.