Oleh IVAN AMIRUL
PUTATAN – Hujan serta angin kencang malam semalam mengakibatkan Pasar Pagi Putatan serta tiga rumah di Kampung Pasir Putih rosak teruk.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 malam itu, pasar terbabit mengalami kerosakan teruk termasuklah bumbung runtuh manakala rumah terjejas kebanyakan rosak di bahagian bumbung.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Salah seorang penghuni terjejas, Fadilah Ahmad Fauzi, 25, berkata dia berada di dapur rumahnya dan sedang mencuci pinggang mangkuk ketika kejadian.
“Tiba-tiba kedengaran bunyi angin lalu sebelum lampu siling terjatuh. Saya terus berlari masuk ke ruang tamu bersama enam ahli keluarga lain.
“Kejadian berlaku terlalu pantas malah kami tidak menyedari bumbung rumah diterbangkan angin dan terjejas teruk.
“Selepas keadaan redah, kami terkejut apabila bumbung dapur tercabut dan diterbangkan ke bahagian laman hadapan rumah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tinjauan di Pasar Pagi Putatan mendapati keadaan bumbung ranap dan beberapa tiang besi tertanggal.
Ketika kejadian, pasar berkenaan tidak beroperasi dan sepasukan polis turut berada di lokasi kejadian bagi memeriksa keadaan pasar berkenaan. – K! ONLINE