Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan aktiviti sukan di gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal di Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beroperasi mulai Isnin ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini selepas mendengar permohonan dan rayuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka sidang khas hari ini bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Facebook Live Kementerian Pertahanan hari ini.
Katanya, bagi aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal kebenaran turut diberikan tetapi hanya bagi tujuan latihan sahaja.
“Aktiviti di padang bola sepak dan pusat futsal adalah terhad kepada 10 orang peserta pada satu-satu masa.
“Kebenaran ini akan berkuat kuasa bermula 19 Oktober ini dan prosedur operasi standard (SOP) selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat,” katanya. -K! ONLINE